Monday, August 8, 2016

Perbahasan mengenai di mana Allah berada

Ahli sunnah sepakat mengatakan bahawa Allah wujud tidak bertempat. Ini juga membawa maksud bahawa Allah berada di mana-mana sahaja mengikut kehendakNya. Namun begitu, ada sebahagian lagi pendapat iaitu golongan yang terkenal dengan gelaran Wahabi, mengatakan bahawa Allah berada di Arsy, seperti yang dinyatakan di dalam al-Qur'an di dalam surah As-Sajadah (surah ke 32, ayat ke-4) iaitu :

Allah yang menciptakan langit dan bumi dan apa yang ada di antara keduanya dalam enam masa, kemudian Dia bersemayam di atas ‘Arsy. Bagimu tidak ada seorang pun penolong maupun pemberi syafaat selain Dia. Maka apakah kamu tidak memperhatikan?

Lalu pendapat manakah yang lebih tepat?

Sebelum melanjutkan, maafkan saya terlebih dahulu kerana saya bukan lah sesiapa. Saya hanya seorang sarjana muda di dalam bidang perniagaan, yang sememangnya tiada kaitan dengan ilmu al-quran mahupun hadis. Namun sebagai seorang Islam, saya merasakan bahawa saya juga layak untuk memberi pendapat dan juga menerima kritikan melalui hujah dan saluran yang betul dari pembaca budiman...

Saya merasakan bahawa kedua-dua pendapat tersebut ada kebenarannya. Saya mengambil hujah berkenaan 'masa'. Jika anda pernah membaca buku bertajuk 'Hakikat takdir dan keabadian masa' karya Harun al-Yahya (nama pena). Idea di dalam penulisan buku ini menekankan bahawa Allah tidak terikat dengan sistem masa seperti makhluk. Yakni dapat juga dikatakan bahawa Allah tiada permulaan dan tiada pengakhiran, kerana Dia lah permulaan dan Dia juga lah pengakhiran, seperti yang terdapat di dalam 99 namaNya.

Jika dilihat di dalam surah as-Sajadah di atas, 'Allah yang menciptakan langit dan bumi dan apa yang ada di antara keduanya dalam enam masa, kemudian Dia bersemayam di atas ‘Arsy'. 

Ia seperti membawa maksud bahawa Allah dapat melakukannya secara serentak, dengan mengambilkira bahawa Dia tidak terikat dengan masa. Apa yang saya cuba sampai kan di sini adalah, Allah menciptakan langit dan bumi dan dalam masa yang sama, dia juga bersemayam di atas 'arsyNya. Perkataan 'kemudian' di dalam ayat tersebut seakan-akan berfungsi sebagai 'gambaran' sahaja, supaya manusia dapat memahami urutan sesebuah kisah tersebut. Kerana manusia juga dijadikan melalui pelbagai fasa dan proses (masa dan proses saling berkaitrapat antara satu sama lain). Jika perkataan 'kemudian' membawa maksud 'selepas itu', maka pembahasan mengenai Allah tidak terikat dengan masa menjadi tidak relevan dan itu adalah sesuatu yang mustahil. Keterbatasan akal manusia memerlukan kita memahami bahawa sesuatu perkara itu memerlukan 'proses' tertentu, sedangkan di sisi Allah, ia tidak perlu dan juga tidak membawa sebarang kesan.

Dengan ini dapat disimpulkan juga bahawa Allah wujud tidak bertempat adalah hujah yang boleh diterima kerana Allah dapat melaksanakan apa jua yang dikehendakiNya samada tempatNya di 'arsy ataupun tidak.

Dapatkah anda memahami bagaimana ia berlaku? Sesungguhnya tiada yang mustahil bagi Allah.
banner
Previous Post
Next Post

0 comments: