Wednesday, August 12, 2015

Semalaman ku tak lena

Peristiwa siang tadi benar2 menyakitkan kepala sehingga sukar untuk aku tidur lena. Ditambah dengan keadaan kesihatan aku yang bukan pada tahap terbaik berbanding beberapa tahun dahulu, ketika masih dalam lingkungan usia 20-an.

Niat di hati untuk melarikan diri ke ibu kota. Tapi entah di mana pula hendak aku menginap nanti. Tempat sewa pula bukan senang dapat. Tempoh pengajian 'orang tua-tua' masih berbaki satu semester lagi. Kalau difikirkan, memang masih sempat untuk merancang masa hadapan, cuma perlu merancang dengan lebih teliti dan teratur, berbanding semasa aku bekerja dahulu.

Kerja sekarang memang tak sehebat dulu pendapatannya. Tapi lebih tenang, sehingga hari ini, ketenangan itu pula seakan mulai pergi. Mengapa aku sering merasakan seakan masa untukku hampir tiada. Untukku melakukan sesuatu, untuk kehidupanku ini. Kalau lah aku tidak terasa bahawa aku semakin berusia. Kalau lah aku tidak terasa bahawa cinta sejati itu tidak boleh didapati. Kalau lah aku tidak terasa bahawa 10 tahun akan datang tidak akan sama lagi seperti 10 tahun sebelum ini.

Friday, August 7, 2015

Sumber manusia (modal insan) VS mesin (tenaga mekanikal dan robot)

Zaman sekarang, banyak syarikat terkemuka atau pun organisasi cuba untuk mengurangkan tenaga manusia dan beralih kepada mesin-mesin dan sebagainya. Sebab utama adalah untuk menambahkan lagi pendapatan syarikat atau organisasi tersebut di masa hadapan. Salah satunya adalah kerana kaedah tersebut dapat menjimatkan kewangan syarikat dalam jangka masa panjang kerana syarikat atau organisasi tidak perlu lagi membayar gaji pekerja. Penjimatan jangka masa panjang tersebut pula boleh digunakan untuk menjana lebih banyak lagi pendapatan dengan rancangan-rancangan, stategik pemasaran, pelaburan syarikat dan sebagainya.

Pada pendapat saya, cara begini ada pro dan kontra. Contohnya kalau anda sering berurusan dengan khidmat pelanggan. Anda pasti ada pengalaman menerima layanan buruk oleh khidmat pelanggan (customer service). Jika perkara seperti itu berlaku, apa yang anda rasa? Kalau anda juga tergolong dalam golongan yang sensitif seperti saya, pasti peristiwa tersebut akan terbawa-bawa sekaligus menyuramkan hari anda pada hari tersebut. Anda akan dihantui persoalan tentang apa kesalahan anda hingga anda dilayan atau mungkin juga dimarahi  sebegitu rupa.

Inilah salah satu kebaikan apabila kompeni atau syarikat 'beralih' daripada tenaga manusia kepada tenaga mesin. Saya memang sokong perkara seperti ini. Apabila anda mahu sesuatu dan tidak faham, mesin ataupun robot takkan pernah letih dan jemu melayan anda sehingga anda benar-benar faham. Apatah lagi untuk dimarahi, robot tidak pandai melakukan perkara itu. Anda juga tidak akan lagi berjumpa dengan manusia yang tiada belas kasihan, menjatuhkan maruah anda atau menghina anda. Kemungkinan juga manusia-manusia sebegini akan bekerja sendiri dan tidak lagi berurusan dengan manusia. Mungkin mereka boleh berurusan dengan haiwan-haiwan di hutan atau mungkin juga mengambil kursus atau pun ujibakat untuk menjadi raja rimba iaitu tarzan. Jika tarzan pun tidak layak,akhirnya mungkin mereka mencuba pula untuk menjadi monyet.