Saturday, June 28, 2014

Sungguh aku tak mampu

Semua orang  inginkan aku berubah, sedangkan aku sendiri tak pasti apa kemahuanku. Aku tak tahu di mana yang harus diubah. Di mana hujung, di mana pangkal.

Mungkin juga tiada makna hanya bercakap-cakap di ruang yang kosong ini. Entah apa yang aku harapkan di sini...

Dalam usia yang telah menjengah pertengahan, tanpa apa-apa tanda pencapaian dalam hidup, aku masih tidak terlalu hirau. Kerana aku rasa pada masa lalu aku telah pun berusaha. Aku rasa aku telah melakukan apa yang patut.

Aku ingin membawa beberapa persoalan ke sana nanti. Aku sedar aku bukan siapa-siapa. Tetapi aku juga tidak tahu siapa-siapa di sini.

Kalau aku terlalu berkeras, aku sendiri yang akan hancur. Aku terlalu berlembut, aku sendiri yang akan musnah. Biar lah apa pun, aku ambil segala masa yang tinggal, walau singkat....

Saturday, June 14, 2014

Sifat yang biasa ada pada manusia

Manusia cenderung untuk membenci sesuatu dan berasa diri adalah lebih baik. Ini merupakan sifat biasa kerana setiap manusia mempunyai maruah diri.

Sifat membenci sesuatu itu pula kadang-kadang tidak kena pada tempat. Apabila manusia membenci dan terus menghukum sesuatu dengan tidak setimpal, maka dia juga berhak untuk menerima hukuman.

Manusia juga sering tidak mengaku kesalahan sendiri dan cuba untuk menegakkan benang yang basah. Contohnya, seorang pesalah yang dihadapkan ke mahkamah di atas kesalahan berat yang nyata seperti mengedar dadah, pasti akan mempertahankan dirinya walaupun terbukti kesalahan yang dilakukan. Ini kerana dia masih ingin terus hidup dan mungkin juga takut kepada mati.

Masalah yang sering ada pada manusia adalah nafsu. Tidak semua manusia mampu mengawal nafsu . Sedar atau tidak, ramai manusia yang jiwanya sakit. Untuk mencari jalan keluar pula seakan tiada. Maka manusia akan dikawal oleh nafsu. Banyak keburukan nafsu kepada manusia. Contohnya seseorang membenci seseorang yang lain hanya kerana orang tersebut kelihatan berlagak atau sombong di matanya, lalu dia mengambil tindakan sendiri seperti membuli atau menyakiti secara mental atau fizikal terhadap orang yang dibencinya itu, maka ini adalah satu contoh di mana manusia ini telah mengikut telunjuk nafsu kerana nafsu ada yang sifatnya seperti api iaitu marak secara tiba-tiba.

Tiada jalan pintas dalam mengawal nafsu melainkan dengan memantapkan iman. Iman yang mantap akan dapat menundukkan nafsu dan seterusnya jiwa yang sakit tadi akan sembuh. Hasilnya adalah ketenangan jiwa dapat dirasai.