Tuesday, July 1, 2014

Cinta hanya sebuah kisah dongeng

Aku terseksa dengan cinta. Aku sering jatuh cinta. Tapi cintaku tidak pernah berbalas. Aku hanya terpedaya oleh cinta. Orang mengambil kesempatan di atas sikapku yang kekurangan kasih-sayang, dengan menunjukkan rasa prihatin tetapi ia hanyalah untuk kepentingan mereka semata-mata. Itulah apa yang aku rasai pada masa sekarang.

Dulu aku pernah merasai cinta. Tapi kau tak pernah sayangkan aku. Kau sengaja ingin mendugaku atas tujuan peribadi kau semata-mata. Kau tak kasihankan aku. Kemudian, aku berjumpa lagi dengan manusia seperti kau. Sungguh aku tak percaya. Mengapa aku dicipta hanya untuk merasai sebuah kepahitan dalam cinta.

Seumur hidup ku, cinta yang kurasai hanyalah gurauan indah. Aku dah semakin tak yakin dengan keelokan diriku, yang pernah diperkatakan. Aku rasa aku semakin tua. Tidak berkahwin bukan alasan untuk tidak pernah merasai cinta.Ramai yang merasai cinta walaupun tidak berkahwin. 

Aku masih punya tanggungjawab. Terhadap seorang ibu yang semakin tua. Aku kurang sayang kepadanya. Aku dingin terhadapnya. Entah mengapa. Mungkin kerana kisah kanak-kanak ku yang menyedihkan. Sebenarnya, aku dah tak larat lagi.....

Saturday, June 28, 2014

Sungguh aku tak mampu

Semua orang  inginkan aku berubah, sedangkan aku sendiri tak pasti apa kemahuanku. Aku tak tahu di mana yang harus diubah. Di mana hujung, di mana pangkal.

Mungkin juga tiada makna hanya bercakap-cakap di ruang yang kosong ini. Entah apa yang aku harapkan di sini...

Dalam usia yang telah menjengah pertengahan, tanpa apa-apa tanda pencapaian dalam hidup, aku masih tidak terlalu hirau. Kerana aku rasa pada masa lalu aku telah pun berusaha. Aku rasa aku telah melakukan apa yang patut.

Aku ingin membawa beberapa persoalan ke sana nanti. Aku sedar aku bukan siapa-siapa. Tetapi aku juga tidak tahu siapa-siapa di sini.

Kalau aku terlalu berkeras, aku sendiri yang akan hancur. Aku terlalu berlembut, aku sendiri yang akan musnah. Biar lah apa pun, aku ambil segala masa yang tinggal, walau singkat....

Saturday, June 14, 2014

Sifat yang biasa ada pada manusia

Manusia cenderung untuk membenci sesuatu dan berasa diri adalah lebih baik. Ini merupakan sifat biasa kerana setiap manusia mempunyai maruah diri.

Sifat membenci sesuatu itu pula kadang-kadang tidak kena pada tempat. Apabila manusia membenci dan terus menghukum sesuatu dengan tidak setimpal, maka dia juga berhak untuk menerima hukuman.

Manusia juga sering tidak mengaku kesalahan sendiri dan cuba untuk menegakkan benang yang basah. Contohnya, seorang pesalah yang dihadapkan ke mahkamah di atas kesalahan berat yang nyata seperti mengedar dadah, pasti akan mempertahankan dirinya walaupun terbukti kesalahan yang dilakukan. Ini kerana dia masih ingin terus hidup dan mungkin juga takut kepada mati.

Masalah yang sering ada pada manusia adalah nafsu. Tidak semua manusia mampu mengawal nafsu . Sedar atau tidak, ramai manusia yang jiwanya sakit. Untuk mencari jalan keluar pula seakan tiada. Maka manusia akan dikawal oleh nafsu. Banyak keburukan nafsu kepada manusia. Contohnya seseorang membenci seseorang yang lain hanya kerana orang tersebut kelihatan berlagak atau sombong di matanya, lalu dia mengambil tindakan sendiri seperti membuli atau menyakiti secara mental atau fizikal terhadap orang yang dibencinya itu, maka ini adalah satu contoh di mana manusia ini telah mengikut telunjuk nafsu kerana nafsu ada yang sifatnya seperti api iaitu marak secara tiba-tiba.

Tiada jalan pintas dalam mengawal nafsu melainkan dengan memantapkan iman. Iman yang mantap akan dapat menundukkan nafsu dan seterusnya jiwa yang sakit tadi akan sembuh. Hasilnya adalah ketenangan jiwa dapat dirasai.

Thursday, May 1, 2014

Review Filem THE TRANSCENDENCE

Review Filem THE TRANSCENDENCE



Terjemahan tajuk THE TRANSCENDENCE dalam Bahasa Melayu  di pawagam ialah DI LUAR KOTAK PEMIKIRAN. Kalau diikutkan memang di luar kotak pemikiran la jugak sebab mane mungkin manusia boleh dijadikan seperti komputer. Memandangkan ini hanya lah sebuah filem dan berbentuk sci-fi, maka semuanya tak mustahil.

Mengisahkan tentang Dr. Will Caster lakonan Johnny Depp yang telah dipindahkan segala memorinya ke dalam sebuah komputer. Isterinya (Scarlett Johanson) melakukan perkara tersebut supaya segala kajian yang telah dilakukan Will tidak terkubur begitu sahaja. Setelah matinya Will, dia pun menjadi sebuah komputer  dan menguasai ke semua maklumat yang ada di dalam dunia ini termasuklah pasaran Wall Street dan sebagainya.

Will berfungsi sama seperti dia masih hidup. Tetapi masalah yang sama dihadapi oleh setiap supercomputer adalah soalan 'adakah kamu sedar'? Setiap komputer termasuk PINN iaitu komputer yang pernah dicipta oleh Will bersama rakannya juga tidak dapat menjawab pertanyaan seperti ini.

Semenjak Will menjadi komputer, dia telah melakukan banyak kebaikan untuk manfaat manusia. Antaranya seperti membantu manusia-manusia yang putus harapan, memulihkan semula ekosistem sehingga pencemaran dapat di atasi hinggakan air sungai tidak lagi berbahaya untuk diminum dan sebagainya. Ke semua manusia-manusia yang telah 'dipulihkan' oleh Will ini bagaimanapun diambil untuk 'bekerja' dengannya seperti membantu mengekalkan empayar yang dibina oleh Will di sebuah pekan yang berada di sebuah gurun. Mereka membantu mennyelenggara ke semua kincir-kincir angin yang dibina oleh Will bagi menyalurkan tenaga kepada empayar yang dibinanya. Walaubagaimanapun, pihak kerajaan telah tersalah tafsir dan menganggap Will cuba membina sebuah kubu bagi tujuan ketenteraan. Akibatnya Will dan orang-orangnya terpaksa berperang dengan wakil tentera daripada kerajaan iaitu pengganas. Kerajaan tidak menghantar tentera sebenar kerana sedar bahawa mereka pasti tidak mampu mengatasi kekuatan orang-orang Will yang mampu memulihkan semula diri mereka dengan sendirinya sekiranya mereka tercedara selain dapat 'menyalin' semula ke semua tentera-tentera kerajaan tersebut. Prinsip yang diguna oleh Will dalam berperang itu bukanlah untuk menghapuskan tetapi untuk mengatasi.

Dalam masa yang sama, isteri Will telah mengetahui kesalahan yang telah dilakukan oleh Will dan juga terpengaruh dengan agen-agen kerajaan yang mengatakan Will sebenarnya bukan lagi manusia tetapi hanya sebuah komputer yang bertindak tanpa maksud yang jelas seperti manusia. Agen-agen kerajaan melalui rakan Will telah merancang untuk menanam virus ke dalam salah satu bahan eksperimen Will iaitu manusia yang telah dipulihkan oleh Will kerana hanya dengan cara itu sahaja empayar Will dapat dimusnahkan. Berjayakah Will mempertahankan empayarnya? Saksikan THE TRANSCENDENCE.

Wednesday, February 12, 2014

Kecintaan

Kecintaan



Zaman sekarang ramai manusia hilang kecintaan. Saling bermusuhan dan berhasad dengki. Bak kata lagu dari kumpulan The Black Eyed Peas, ''Where Is The Love'' . Semenjak manusia diciptakan, malaikat bertanya kepada tuhan, ''mengapakah engkau mahu menciptakan makhluk yang suka menumpahkan darah sesama sendiri ?'' Tuhan berkata, ''Sesungguhnya aku lebih mengetahui apa yang tidak kamu ketahui''. Jadi telah termaktub akan sifat manusia sebelum manusia dicipta. Jadi aku tak pelik mengapa di luar aku selalu rasa tak selamat, rasa dipersenda oleh orang yang aku tak kenal dan mungkin juga ada tetamu tak diundang yang sengaja suka menindas insan lemah.

Aku selalu terbayang tentang kekacauan di dalam fikiran , tentang bagaimana aku akan mempertahankan diri aku sekiranya aku diapa-apakan oleh 'tetamu yang tak diundang' ini. Sebenarnya dari aku sekolah menengah dah ramai orang yang bukan kawan tapi sengaja nak cari 'masalah'. Aku tahu , orang lain , manusia lain juga pernah mengalaminya. Seperti yang telah aku cakap tadi, manusia memang begitu. Tetapi yang menjadi persoalan, mengapa aku lebih 'sering' berbanding manusia yang lain? Ada yang memberi alasan kerana 'aku sombong'. Dari mana mereka 'mengukur' kesombongan aku, aku sendiri tak tau. Bagus sangatkah mereka sehingga boleh mengandaikan bahawa aku 'sedang' sombong? Dan siapa pula manusia-manusia tersebut yang merasakan berhak menghukum aku dengan sewenangnya?

Kalau terjadi kepada seseorang yang lain, sudah pasti manusia-manusia macam ni takkan ada jawapan bila disoal oleh hakim tentang mengapa mereka mencedera atau mengambil nyawa manusia lain yang bukan hak mereka. Boleh kah mereka menjawab, ''kerana dia sombong?'' Jawapan tersebut pasti tidak diterima oleh yang arif apabila mereka berada di kandang pertuduhan. Sekian.